24/7

Enslaving Self to The Creator, Following Path of The Messenger, Succeeding Here and The Ever After..


Alam yang serba indah ini, melakar senyuman buat insan yang memerhati. Pepohonan hijau melambai dibuai angin damai, menghiasi dada permai, mengisi kekosongan jiwa nan kesunyian. Keriangan kicauan burung dan serangga, sedikit sebanyak seakan menyapa kekusutan jiwa dalam menongkah ombak jerih kehidupan insan.


Alam, pohon - pohonnya, bunga - bunganya, buah - buahannya, tumbuh - tumbuhannya, binatang - binatangnya, gunung - ganangnya, bukit - bukaunya, dan sebagainya, seolah - olah mengingatkan kita suatu perkara yang kita hampir lalai dan alpa darinya, dek kesibukan mengejar harta, dunia dan benda dalam seharian kita.

Lihatlah sekali lagi! Khabarkan apa yang kita dapati dari lukisan alam yang tersergam indah ini?

Takkala kita melihat gunung, tidakkah kita terfikir, siapakah diri kita yang kerdil ini, berbanding gunung - ganang yang tersergam megah, gagah menongkat bumi ini? Takkala kita melihat lautan, tidakkah kita terfikir, siapalah kita berbanding keluasan laut yang terbentang bagai tiada bertepian ini?

Takkala kita melihat flora dan fauna, tidakkah kecantikan alam ini mengambarkan bahawa, apalah keindahan diri kita berbanding keindahan alam tersebut? Takkala kita melihat gajah, tidakkah kita terfikir, bahawa kebesaran jasmani kita, tiada nilainya di sisi kebesaran jasmani gajah tersebut?

Duhai 'Kita', yang berfikir, mengapa kita tidak mahu sekurang - kurangnya bertanya, apakah nilai diri kita, berbanding alam yang tersergam ini?

Kalau kita pantas, kuda lebih pantas. Kalau kita besar, gajah lebih besar, bahkan gunung lebih besar. Kalau kita cantik, merak lagi cantik. Kalau kita tinggi, awan lebih tinggi. Kalau kita bijak, iblis lebih bijak. Kalau kita taat, malaikat lebih taat. Jadi…??

Jadi, mana istimewanya 'Kita' berbanding apa yang kita saksikan dari alam dan apa yang kita ketahui tentang makhluk - makhluk yang lain?

Dari realiti ini, kita seharusnya malu dengan diri sendiri, kerana selama ini merasakan bahawa, kitalah yang pantas, kitalah yang besar, kitalah yang cantik, kitalah yang tinggi, kitalah yang bijak bahkan, kitalah yang taat. Ini kerana, nilai kita tidaklah setanding nilai - nilai makhluk yang lain, dalam kategori masing - masing.

Di manakah rahsia firman Allah s.w.t. “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan...”?

Rahsia 'sebaik-baik penciptaan' bukan pada apa yang kita lihat dari luaran kita, tetapi ianya pada makna yang tersembunyi dalam diri kita. Ia dikenali sebagai sir (Rahsia) dalam diri kita, yang menyebabkan Allah s.w.t. mengatakan bahawa kita adalah sebaik - baik ciptaanNya.

Dari ayat tersebut, kita dapat mempelajari beberapa rahsia dan hikmah ketuhanan dan kehambaan diri, antaranya:


Pertama: Allah s.w.t. berfirman, “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia…”

Ayat ini mengingatkan kita bahawa, kita semua berasal dariNya. Kalau bukan Dia yang menciptakan kita, kita tidak wujud di dunia ini, bahkan di akhirat nanti. Wujud yang menjadi antara nikmat Allah s.w.t. yang terbesar dalam diri kita, merupakan anugerah dariNya, kalau anda menghargainya. Oleh itu, janganlah kita sekali-kali melupakan hakikat bahawa, kita diciptakan, dan kitasebenarnya milikNya yang menciptakan kita, dan siapalah kita tanpaNya. Oleh itu, ayat ini mengingatkan kita tentang, rasa diri dimiliki oleh Tuhan yang selayaknya disembah.


Kedua: Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan...”

Allah s.w.t. menjelaskan bahawa, bukan sahaja Dia menciptakan kita (manusia) semata - mata suatu penciptaan yang tiada sebarang makna, tetapi sebaliknya, Dia menciptakan kita dengan sebaik - baik penciptaan, sama ada dari sudut luarannya mahupun dalamannya. Adapun dari sudut luaran, Allah s.w.t. menciptakan kita dalam bentuk yang sederhana, tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar, tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras, dan sebagainya. Maka, kesederhanaan dan pertengahan dalam diri kita sebenarnya merupakan suatu sifat 'sebaik - baik penciptaan' dalam ciptaan Allah s.w.t.

Adapun dari sudut dalaman, Allah s.w.t. menganugerahkan kita dua kekuatan dan satu tanggungjawab yang tiada pada selain manusia, iaitu kekuatan akal dan nafsu, dan tanggungjawab sebagai khalifah (wakil) Allah s.w.t. di muka bumi ini.

Kalaulah haiwan, cuma ada nafsu. Kalau malaikat, cuma ada akal. Kalau jin, walaupun ada akal dan nafsu, tetapi tiada keistimewaan sebagai khalifah di muka bumi ini. Adapun manusia, memiliki ketiga - tiganya, iaitu, akal, nafsu dan keistimewaan sebagai khalifah di muka bumi ini.


Ketiga: Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Kami ciptakan manusia...

Penggunan kata ganti nama 'Kami', merujuk kepada bilangan yang ramai bagi pihak yang bercakap. Adapun penggunaan 'Kami' dalam ayat ini merujuk kepada satu bilangan yang berfirman iaitu Allah s.w.t. semata-mata. Tujuan penggunaan kata 'Kami' bagi merujuk kepada Allah s.w.t. yang Maha Esa merupakan suatu bentuk sastera arab yang tinggi, di mana 'Kami' pada firman Allah s.w.t. tersebut bukan merujuk kepada kebesaran kuantiti yang bercakap (berfirman), tetapi menunjukkan kepada kebesaran kualiti yang berfirman. 'Kami' dalam ayat tersebut menunjukkan kebesaran Allah s.w.t. yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa, hatta seluruh makhluk berhimpun untuk menciptakan sekecil - kecil makhluk sekalipun, seperti lalat, nescaya mereka tidak mampu. Oleh itu, penggunaan kata 'Kami' dalam ayat di atas, selain daripada menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t., ia juga menafikan ada kuasa mutlak selain dariNya yang mampu menciptakan sesuatu.


Keempat: Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Kami menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan...”

Ini menunjukkan hakikat sebenar diri kita, bagi menjawab persoalan - persoalan paling penting dalam hidup kita iaitu:

* Dari mana?

Jawapannya, dari Allah s.w.t yang menciptakan kamu.

* Apa tujuan hidup?

Dari firmanNya: “sebaik-baik penciptaan…” memberi kefahaman bahawasanya, tujuan hidup kita juga pastilah sebaik - baik tujuan. Apakah sebaik-baik tujuan hidup tersebut?

Allah s.w.t. berfirman dalam surah Az - Zariyyat yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah (kepadaNya)…

Dalam ayat Az - Zariyyat tersebut juga ada beberapa pelajaran yang boleh diambil antaranya:

Tujuan hidup manusia dan jin adalah untuk menyembahNya yang Maha Esa dan beribadah kepadaNya semata - mata. Segala perbuatan jin dan manusia, perlulah diniatkan untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Segala perbuatan yang tidak disertakan dengan niat beribadah kepadaNya adalah perbuatan yang sia - sia dan merugikan usia seseorang manusia, seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Katakanlah (Hai Muhammad), sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku (seluruhnya) dan kematianku untuk Allah s.w.t...”

Dalam ayat tersebut juga, kita dapati bahawa, Allah s.w.t. menggunakan kata ganti nama 'Aku', takkala merujuk kepadaNya. Ianya berbeza dengan penggunaan kata ganti nama 'Kami' dalam ayat sebelum ini. Antara hikmahnya, Allah s.w.t. merujuk diriNya dengan perkataan 'Aku' dalam ayat ini (Az - Zariyyat) untuk memfokuskan manusia dan jin, tentang sifatNya yang Maha Esa. Ini kerana, ayat ini berkaitan dengan ayat yang menyeru manusia kepada penyembahan, maka pada ayat ini, Allah s.w.t. menggunakan kata 'Aku' untuk menghalakan pemerhatian manusia kepada KeESAanNya dalam pengabdian, kerana tiada tuhan yang layak disembah melainkan Dia s.w.t..

Adapun penggunaan kata 'Kami' dalam ayat sebelum ini merujuk kepada kekuasaan Allah s.w.t., takkala Allah s.w.t. berfirman tentang penciptaan manusia. Maka, pada ayat yang menceritakan tentang penciptaan makhluk, selalunya digunakan kata 'Kami' untuk menunjukkan kepada sifatNya yang Maha Berkuasa sedangkan apabila Allah s.w.t. berfirman tentang penyembahan dan pengabdian, selalunya digunakan kata 'Aku' atau 'Dia' yang menunjukkan sifat KeESAan Allah s.w.t. dalam pengabdian sesuatu makhluk.

Pengajaran ketiga yang dapat diambil dari ayat tersebut lagi ialah, tentang khitob (hala tuju firman Allah s.w.t. kepadanya). Dalam firman tersebut, Allah s.w.t. menghalakan kalamNya kepada jin dan manusia secara khusus bagi mengingatkan mereka tentang tujuan penciptaan mereka. Mengapa hanya kepada jin dan manusia sahaja ditujukan peringatan tersebut?

Hal ini kerana, manusia dan jin sering lupa dengan hakikat dan tujuan kehidupan mereka, hasil pertentangan akal dan nafsu dalam diri mereka. Nafsu yang menebal dalam diri mereka kadangkala melalaikan akal manusia dari memperingati tujuan asal kehidupan mereka di dunia ini.

Oleh yang demikian, Allah s.w.t. mengingatkan dua jenis makhlukNya yang terdedah kepada kealpaan hasil pertembungan akal dan nafsu dalam diri mereka, supaya kembali kepada tujuan asal penciptaan mereka supaya mereka tidak rugi di akhirat kelak. Peringatan tersebut merupakan tanda kecintaan dan rahmat Allah s.w.t. kepada hamba - hambaNya.

Jadi, tujuan manusia diciptakan ialah untuk menyembah dan mengabdi diri kepada Allah s.w.t., dan ia merupakan sebaik - baik tujuan dan matlamat hidup sesuatu makhluk, kerana manusia itu sendiri merupakan sebaik - baik ciptaan.

* Ke mana hala tuju kita?

Dalam ayat yang berbunyi: “Kami menciptakan manusia dengan sebaik - baik penciptaan”, menjawab persoalan tersebut, di mana, dari Dialah kita datang, dan sudah tentu kepadaNyalah kita akan kembali.


Kelima: Takkala Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dengan sebaik - baik penciptaan”, sebenarnya Allah s.w.t. mengingatkan kita bahawa, kebaikan - kebaikan yang ada pada diri kita, seperti kepandaian, kekayaan, kebahagiaan, ketampanan, kecantikan, hatta ketaatan sekalipun, bukan hasil dari kuasa dan daya diri kita sendiri, tetapi kebaikan - kebaikan tersebut semuanya dari Allah s.w.t.

Di sini, Allah s.w.t. mengajar manusia, cara beradab di hadrah Ilahi s.w.t., dengan tidak memandang kebaikan itu, dinisbahkan kepada diri sendiri, dan merasa bangga dengan diri sendiri, tetapi sebaliknya menisbahkan kebaikan - kebaikan yang ada pada diri kepada Allah s.w.t., yang pada asalnyalah, telah menciptakannya dengan sebaik - baik penciptaan. Oleh yang demikian, segala kebaikan - kebaikan yang ada dalam diri kita dan kehidupan kita adalah anugerah dariNya. Apabila menyedari hakikat sedemikian, tergamakkah kita 'BANGGA' dengan diri sendiri, sedangkan pada hakikatnya, segala kebaikan yang ada pada kita bukan dari kita, tetapi dariNya. Tidak sedarkah bahawa, Tuhan s.w.t. yang memberi kebaikan - kebaikan tersebut pada diri kita juga mampu menarik balik pemberianNya daripada kita? Jadi, wajarkah kita bangga diri di hadapanNya yang telah memberikan apa yang kita miliki kepada kita??

Fahamilah teman - temanku, fahamilah…

3 comments:

as expected of a blog by the President of the Student Council~
(^^,)

Tahniah diatas kelahiran blog ini!!!

jazakumullahu khairan jaza'

About Me

My photo
Currently studying at Kolej Mara Kulim, Kedah, Foundation in Science and Technology University Kuala Lumpur. Struggling and hoping to be an 'Alim, Muttaqi..

Followers