24/7

Enslaving Self to The Creator, Following Path of The Messenger, Succeeding Here and The Ever After..


Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadangkala kita mendapati bahawa amalan kita adalah terbalik atau bertentangan daripada apa yang sepatutnya dilakukan dan yang dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut - ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan di bawah sebagai contoh amalan - amalan yang terbalik:

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik daripada apa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasakkan makanan untuk keluarga si mati bagi meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.

Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyediakan makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau - kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Sekiranya seseorang itu hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin), orang kerap
Assalamu'alaikum yang berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepitkan di dalam tangan, maka segan dia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau dia menziarahi orang mati, tidak segan pula Assalamu'alaikum tak berisi. Sepatutnya sekiranya kita menziarahi keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tidak apa kerana tuan rumah memanggil kita untuk diberi makan bukan untuk dia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi apabila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang sahaja bahkan ada yang tidak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan itu kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut ialah dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidangkan supaya tuan rumah berasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau solat sunat di masjid amat rajin, tetapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik - baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam, akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekkah dan apabila balik dari Makkah tidak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuatlah kenduri. Bukan kerana hendak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan yang lain? Wallahu a'lam

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau - kalau anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tetapi kalau anak tidak boleh membaca Al-Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Al-Quran atau kelas khas mempelajari agama Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir, tetapi kepada Tok Guru Al-Quran hendak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.

Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang sekiranya anak kita tidak dapat membaca Al-Quran atau solat daripada tidak lulus peperiksaan duniawi..

Cukuplah dengan contoh - contoh di atas yang hanya sedikit ini. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat yang sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita ini menuruti landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera hidup kita.

Terkadang kita terlupa, mengapakah diri kita ini melakukan amalan - amalan yang sebenarnya agak tersimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kecetekan ilmu yang ada pada diri kita. Justeru, tuntutlah ilmu, beramallah dengan ilmu yang kita ada, dan janganlah kita bertaqlid, iaitu beramal membuta tuli dengan mengikut orang lain tanpa mengetahui nas - nasnya di dalam Al-Quran dan Al-Hadith.

Jalan untuk kita beramal sebagai bekalan di akhirat kelak telah Allah sediakan dengan banyaknya di atas muka bumi ini - Al-Quran, Al-Hadith dan Allah juga telah menempatkan orang - orang yang lebih berilmu dalam bidang agama daripada kita, untuk kita jadikan mereka sebagai rujukan dan tempat bertanya sekiranya kita ragu dan tidak tahu. Sekarang terpulang kepada diri kita untuk memilih, Islam yang syumul atau pun Islam yang hanya diwar-warkan sahaja sebagai syumul.
Allah yang menciptakan kita, maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

0 comments:

About Me

My photo
Currently studying at Kolej Mara Kulim, Kedah, Foundation in Science and Technology University Kuala Lumpur. Struggling and hoping to be an 'Alim, Muttaqi..

Followers